Dua suspek bunuh wanita warga emas direman seminggu
KEMAMAN - Dua lelaki tempatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang wanita warga emas dalam kejadian di Taman Baiduri Geliga di sini empat tahun lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kemaman, Masni Hajar Ghazali.
Tahanan reman itu dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek pertama berusia 26 tahun ditahan pada Khamis lalu dan perintah tahanan reman terhadapnya bermula kelmarin sehingga Khamis depan.
Suspek kedua berusia 35 tahun ditahan semalam dan perintah tahanan reman terhadapnya bermula hari ini sehingga Sabtu depan.
Sebelum ini, dalam kejadian pada 1 Mei 2016, seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa samun di rumahnya di Taman Baiduri, Geliga, di sini disahkan meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman di sini.
Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa yang tinggal bersendirian itu cedera parah di kepala dan siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di luar rumah mendapati mangsa dipukul dengan objek keras oleh dua individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!