'ALLAH makbulkan doa kami' - Yana Najib
PASIR PUTEH - "ALLAH makbulkan doa kami," kata Nooryana Najwa, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembebasan ibunya.
Nooryana berkata, ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak seharusnya menghadapi pertuduhan sedemikian.
Bagaimanapun, menurut Nooryana, keputusan mahkamah membuktikan ibunya sudah mendapat keadilan yang sewajarnya.
"Alhamdulillah, proses keadilan telah membersihkan nama baik ibu selain doa serta sokongan penyokong tegar 'Bossku' selama ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Kampung Kandis pada Khamis.
Nooryana yang berada di Kelantan bagi misi bantuan pasca banjir mengetahui keputusan berkenaan daripada keluarga terdekat.
Dalam pada itu, Nooryana memberitahu, berita itu turut menggembirakan bapanya yang masih menunggu Titah Addendum di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari depan.
"Kami berpeluang solat hajat bersama jika dia (Najib) mendapat tahanan rumah dan meraikan kesyukuran bersama keluarga," katanya.
Media pada Khamis melaporkan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua tuduhan itu.
Rosmah melalui permohonannya berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!