Falah pesan teman Suri malam ini
DRAMA Andai Tiada Dia hangat diperkatakan sejak malam tadi selepas watak kesayangan ramai, Falah lakonan Zahiril Adzim 'dimatikan'.
Watak Falah yang diharapkan oleh netizen untuk menjadi lelaki kiriman Tuhan kepada Suri lakonan Ummi Nazeera, akhirnya disahkan mati otak semalam dan hayatnya bergantung kepada mesin sahaja.
Malah tidak kurang juga yang mengakui mengalirkan air mata melihat drama dua episod akhir itu.
Walaupun wataknya sudah dimatikan, Falah sempat meninggalkan pesan kepada penonton setia siri itu.
"Malam ini episod akhir, kalian semua tolong tengok-tengokkan Suri. Jangan bagi dia seorang diri, temanlah dia di episod terakhir ini.
"Saya percaya Suri akan buat keputusan yang betul dan bijak. Kalau tak percaya, tengok malam ni," pesannya.
Namun dalam kesedihan itu, masih ramai yang mengharapkan 'plot twist' dalam drama 36 episod yang akan berakhir malam ini.
Apatah lagi sehingga kini Intan yang dijayakan pelakon Mimi Lana sebelum digantikan model Alicia Amin masih belum menerima pembalasan setimpal selepas apa yang dilakukan sebelum ini.
Justeru apakah Suri akan terus sendiri atau kembali ke pangkuan bekas suaminya, Haikal (lakonan Hisyam Hamid) atau mempunyai cinta baharu?
Semuanya bakal terjawab malam ini di dalam episod akhir Andai Tiada Dia, jam 10 malam di Astro Ria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!