'Kartel pengurusan jenazah zalim, bercanggah tuntutan agama Islam'
SHAH ALAM - Perbuatan sesetengah pihak yang mengambil keuntungan berlebihan dalam caj pengurusan jenazah perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan kehormatan insan dan menzalimi sesama umat Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, umat Islam dituntut untuk memudahkan urusan orang lain dan saling menolong antara satu sama lain.
"Isu kartel yang mengeksploitasi pengurusan jenazah sebagai sumber untuk mengaut keuntungan berganda merupakan perbuatan bercanggah dengan kemuliaan manusia.
"Lebih-lebih lagi sehingga membawa kepada penahanan jenazah tersebut daripada diuruskan hanya kerana kos pengurusan jenazah yang masih tidak dibayar sepenuhnya.
"Pihak yang terlibat melakukan perkara ini ibarat menangguk di air keruh kerana menzalimi dan mengambil kesempatan ke atas waris yang baru sahaja ditimpa musibah kematian," katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, perbuatan menahan jenazah kerana kos belum dibayar juga bercanggah dengan tuntutan agama agar mempercepatkan pengurusan jenazah.
Ujarnya, hukum berkaitan perkara tersebut telah dijelaskan secara terperinci dalam artikel bertajuk 'Irsyad Hukum Siri Ke-877: Isu Pembekuan Jenazah Bayi Muslim Di Hospital Swasta.'
"Tambahan pula, kos tinggi dan melampau menyebabkan sebahagian waris terutama yang kurang berkemampuan tidak mampu melaksanakan bayaran tersebut.
"Pengurusan jenazah sebaik mungkin adalah tanggungjawab ahli keluarga dan sekiranya tiada waris, maka tanggungjawab berpindah ke baitulmal orang Islam kerana ia merupakan fardu kifayah yang wajib dilaksanakan.
"Tuntutan berkenaan ditujukan kepada semua yang mengetahui kematian jenazah tersebut, sama ada keluarga terdekat atau selainnya. Ia juga wajib dilakukan dengan segera setelah kematian disahkan dan jelas tanda kematian seseorang itu," jelasnya.
Tambah kenyataan tersebut, manusia diciptakan oleh ALLAH SWT dengan kemuliaan dan pelbagai kelebihan daripada kebanyakan makhluk-NYA yang lain.
Justeru ujarnya, kemuliaan manusia itu perlu dipelihara bahkan sehingga selepas seseorang insan meninggal dunia di mana jenazah wajib dijaga sebagaimana ia dalam keadaan hidup.
Sebelum ini media melaporkan, bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham, Safwan Roshdy, 22, kecewa dan sedih dengan tindakan hospital 'menahan' mayat bayi lelakinya itu kira-kira dua minggu.
Safwan mendakwa anak sulungnya dilahirkan tidak sempurna meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.
Jenazah bayi lelaki itu dibekukan dalam peti sejuk mayat di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Sementara itu, pada Ahad, menerusi perkongsian di Facebook Mr Wan Cai Official, terdapat kartel jenazah yang mengambil kesempatan mengenakan caj pengurusan terlalu tinggi kepada seorang lelaki sehingga proses pengebumian jenazah isterinya tergantung.
Katanya, pasangan tersebut merupakan mualaf dan berstatus asnaf serta suami adalah kategori orang kelainan upaya (OKU).
Menurut pihak berkenaan, kisah itu berlaku pada 12 November lalu apabila seorang wanita disahkan meninggal dunia di unit kecemasan sebuah hospital swasta di Ampang dan bil hospital bernilai RM5,500.
Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bahawa bayaran boleh dilakukan dan meminta waris menguruskan jenazah wanita tersebut terlebih dahulu.
Bercerita lanjut, dia berkata, beberapa jam kemudian secara tiba-tiba muncul dua individu yang mendakwa mereka dihubungi pihak hospital untuk menawarkan khidmat pengurusan jenazah.
Dakwanya, ketika itu van sudah siap dibawa dan harga bagi pengurusan jenazah yang ditawarkan hanya RM500, namun selepas selesai mandi, kafan sekitar jam 4 petang, tiba-tiba harga berubah dan naik kepada anggaran RM2,000.
Tambahnya, jenazah 'ditahan' sehingga jam 2 petang pada 13 Disember tanpa perikemanusiaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!