Jangan jual rumah untuk raih untung singkat

Azmin (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama pimpinan kerajaan, wakil Eco World dan sebahagian peneroka pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris kepada Peneroka Rancangan Revolusi Hijau Peringkat 2 dan 3 Mukim Ijok di sini hari ini.
Azmin (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama pimpinan kerajaan, wakil Eco World dan sebahagian peneroka pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris kepada Peneroka Rancangan Revolusi Hijau Peringkat 2 dan 3 Mukim Ijok di sini hari ini.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Seramai 987 peneroka Rancangan Revolusi Hijau Peringkat II dan III Bukit Cerakah yang memperoleh pampasan rumah percuma diingatkan tidak menjual kediaman masing-masing hanya untuk mengaut keuntungan dalam masa singkat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, harga hartanah di kawasan yang dilengkapi kemudahan pembangunan infrastruktur dan prasarana lengkap itu dijangka terus meningkat pada masa depan.

"Ini sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai perbandaran baru yang dapat merapatkan lagi jaringan perhubungan di antara Bandar Raya Kuala Lumpur dan Kuala Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris kepada Peneroka Rancangan Revolusi Hijau Peringkat 2 dan 3 Mukim Ijok di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, projek membina kediaman peneroka terbabit sebelum ini terbengkalai selama 20 tahun lalu.

"Sepanjang tempoh itu dua syarikat pemaju telah membangunkan projek ini, malangnya kedua-dua syarikat telah gagal membangunkan kawasan ini seperti yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, beliau yang menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014 mengambil tanggungjawab tersebut untuk membantu menyelesaikan kemelut dihadapi peneroka di kawasan tersebut.

"Kita hendak melihat bagaimana kerajaan negeri dan syarikat kontraktor Eco World boleh menunaikan janji kepada peneroka.

Artikel Berkaitan:

"Antara janji tersebut ialah dengan membayar pampasan sebanyak RM44 juta dan ini telah pun dilakukan sebelum projek perumahan ini dimulakan.

"Kemudian kita membina 987 unit rumah yang siap dibina tanpa kos tanah bernilai RM250,000 pada waktu itu dan nilai harga pasaran ketika ini melebih RM500,000," katanya.

Katanya, kawasan seluas 880 hektar itu juga bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kawasan riadah, masjid, rumah ibadah bukan Islam dan sekolah kebangsaan.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan bagi membantu peneroka mencari jalan penyelesaian komprehensif terbaik bagi memastikan mereka mendapat hak milik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!