Tularkan gambar perokok, bukan menteri sahaja!

Realitinya, ramai sahaja yang mungkin ‘tidak sengaja’ atau ‘terlupa’ lalu merokok di kawasan larangan dan disaksikan orang lain, namun tidak ditularkan kerana bukan figura terkenal. Foto hiasan
Realitinya, ramai sahaja yang mungkin ‘tidak sengaja’ atau ‘terlupa’ lalu merokok di kawasan larangan dan disaksikan orang lain, namun tidak ditularkan kerana bukan figura terkenal. Foto hiasan
A
A
A

KELMARIN seluruh negara kecoh seketika apabila tular di media sosial gambar Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang sedang memegang sebatang rokok di sebuah restoran.

Kebanyakan rakyat Malaysia melahirkan rasa kesal kerana ia memperlihatkan sisi negatif seorang pemimpin negara yang sepatutnya menjadi contoh, juga teladan.

Menyedari kesilapan dilakukan, Tok Mat segera memohon maaf dan berjanji membayar kompaun dikenakan.

Realitinya, ramai sahaja yang mungkin ‘tidak sengaja’ atau ‘terlupa’ lalu merokok di kawasan larangan dan disaksikan orang lain, namun tidak ditularkan kerana bukan figura terkenal.

Apabila kebetulan netizen dapat ‘tangkap’ individu yang ada nama, cepat-cepat dimasukkan ke media sosial sebagai berita sensasi kerana ‘ada menteri langgar peraturan!’

Sebenarnya menteri atau tidak, kesalahan merokok di 28 tempat awam disenaraikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dilarang sama sekali dan sekiranya ada individu didapati melakukan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.

Tidak ramai yang sedar mereka sebenarnya bukan sahaja tidak boleh merokok di restoran, bangunan yang mempunyai pendingin hawa, hospital atau klinik, malah di banyak lokasi lagi.

Ia termasuklah kedai dobi, kompleks membeli-belah, kafe internet, malah di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Artikel Berkaitan:

Kalau diikutkan, jika tidak mahu prejudis, kejadian tular menimpa Tok Mat sepatutnya dilaksanakan juga kepada semua orang.

Siapa sahaja merokok di kawasan larangan, ambil gambar dan sebarkan tanpa mengira status mereka, barulah adil!

Untuk lebih saksama lagi, kompaun sama perlu dikenakan kepada mereka yang menghisap vape.

Kadangkala penghisap vape tegar berperangai lebih buruk lagi kerana vaping tidak kira tempat dan masa, asalkan teringat dan teringin, main hembus sahaja!

Yang penting, sudah sampai masanya KKM menghantar ramai pegawai sebagai ‘mata-mata’' di 28 tempat larangan berkenaan dan bertindak lebih serius dalam mengenakan kompaun kepada pesalah.

Salah satu langkah boleh difikirkan juga adalah dengan melantik penguat kuasa dalam kalangan orang awam yang lebih mudah memberi maklumat.

Jika Kementerian Kerja Raya (KKR) ada aplikasi MYJalan, mungkin KKM perlu ada aplikasi MYTakNak! untuk orang awam muat naik gambar lokasi larangan yang selalu ada orang merokok.

Jika tidak, sampai bila-bila pun tiada yang peduli perokok menghembus asap kotor di sebelah mereka dan sudahnya siapa akan merana?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!