Pengalaman luas Tun Musa pacu kesejahteraan Sabah
SHAH ALAM - Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 diyakini mampu membuka lembaran baharu terutamanya dalam aspek kestabilan dan kemakmuran di negeri berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, keyakinan tersebut bersandarkan pengalaman luas bekas Pengerusi UMNO Sabah itu dalam politik dan pentadbiran kerajaan.
“Tun Musa tidak asing lagi dengan kepimpinan yang mana beliau merupakan Ketua Menteri paling lama berkhidmat. Ketokohan beliau bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi juga politik. Ini jelas.
“Sebelum memasuki politik, beliau terlebih dahulu terlibat dengan sektor korporat dan kewangan dan sudah pasti membolehkan banyak pandangan dan buah fikiran diberikan dalam meningkatkan lagi keupayaan ekonomi di negeri ini.
“Beliau juga dilihat mempunyai kemampuan untuk mengesan atau mengenal pasti potensi pembangunan di Sabah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Syahruddin berkata, beliau melihat pemikiran Musa ketika menjadi Ketua Menteri sebelum ini lebih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila pembangunan infrastruktur dan landskap di negeri itu dibentuk berdasarkan acuan Kuala Lumpur.
“Malah, dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam politik dan pentadbiran yang memberi peluang beliau berada di bawah tiga kepimpinan Perdana Menteri turut membuatkan beliau memahami secara mendalam banyak perkara, malah kemelut politik yang membabitkan dirinya sebelum ini juga boleh dijadikan panduan untuk mewujudkan lebih kestabilan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!