'Carikan Young Tigers, Young Tigress lawan lebih kuat'

Young Tigers mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di India tahun depan. Foto: Asian Hockey Federation
Young Tigers mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di India tahun depan. Foto: Asian Hockey Federation
A
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki dan wanita negara memerlukan perlawanan kompetitif berkualiti bagi membolehkan lebih mencabar apabila membuka gelanggang Piala Dunia di India dan Chile tahun depan.

Malah jelas bekas pemain Speedy Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, perlawanan itu penting tidak hanya untuk pengalaman tetapi juga membentuk keyakinan apabila berdepan pasukan pelapis terbaik dunia.

“Sebenarnya pemain-pemain muda kita masih kurang lagi didedahkan siri jelajah menentang pasukan berkualiti, ini perkara penting yang perlu diberikan perhatian menjelang dua kejohanan ini.

“Pada masa sama pemilihan pemain-pemain berkualiti dibawa untuk siri jelajah juga penting kerana dari perlawanan itu nanti peratusan untuk meningkatkan kualiti adalah tinggi dan begitu juga sebaliknya.

“Malah juga adalah penting pasukan negara dapat pendedahan menentang pasukan kedudukan enam terbaik dunia kerana kekerapan menentang pasukan ini menurunkan lagi peratusan risiko kekalahan besar, selain keyakinan bermain perlawanan sebenar sekaligus meraih keputusan positif,” katanya kepada Sukan Sinar.

Young Tigress mencipta sejarah apabila menyambar slot Dunia Remaja 2025 di Chile tahun depan. Foto: Asian Hockey Federation
Young Tigress mencipta sejarah apabila menyambar slot Dunia Remaja 2025 di Chile tahun depan. Foto: Asian Hockey Federation

Sebagai rekod, Young Tigers kendalian I Vikneswaran dan Young Tigress bimbingan Lailin Abu Hassan masing-masing mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 selepas layak ke temasya berkenaan.

Tambah Nor Saiful Zaini, pemilihan pasukan berkualiti dalam siri jelajah itu juga penting kerana skuad pelapis negara sudah boleh meletakkan sasaran di India dan Chile berdasarkan aksi persahabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah jelasnya, sekiranya Young Tigers dan Young Tigress berjaya mendapatkan perlawanan persahabatan menentang pasukan yang telah layak ke India 2025 serta Chile 2025 itu adalah lebih baik.

“Pasukan lawan kita dalam siri jelajah ini juga perlu setara atau lebih tinggi daripada kita, kerana jika sebaliknya ia tidak akan membantu kita meningkatkan prestasi skuad negara untuk dua kejohanan tersebut.

“Satu lagi harus di ingat perlawanan pendedahan ini bukan hanya berkisar kepada keputusan perlawanan tetapi paling penting aspek yang perlu diperbaiki pemain-pemain terutamanya kelemahan masing-masing.

“Setiap bahagian pasukan baik dari jentera serangan, tengah dan pertahanan termasuk aspek kemahiran pukulan sudut penalti serta penalti stroke juga perlu dimantapkan sepanjang tempoh jelajah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!