Penat hadap kesesakan nak masuk 'pulau'

Harapan rakyat terhadap Kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di Jambatan Pulau Pinang amat tinggi. Foto hiasan
Harapan rakyat terhadap Kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di Jambatan Pulau Pinang amat tinggi. Foto hiasan
A
A
A

BARU-baru ini, seorang rakan penulis yang tinggal di Sungai Petani, Kedah tetapi bekerja di Pulau Pinang mengadu dia sudah tidak tahan lagi menempuh kesesakan jalan raya terutama di atas Jambatan Pulau Pinang.

Datang kerja, sesak. Balik kerja, lagilah sesak. Setiap hari. Itu belum berlaku kemalangan di atas jambatan atau di kawasan Seberang Jaya. Bukan main-main punya sesak. Kadangkala sehingga berjam-jam.

Seperti yang berlaku pada 6 November lalu, ribuan kenderaan termasuk motosikal terperangkap apabila Jambatan Pulau Pinang sesak teruk kerana kemalangan.

Difahamkan, kemalangan berlaku jam 6 pagi tetapi mereka yang mahu masuk kerja jam 9 pagi tidak dapat masuk kerja tepat pada waktunya.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan dari Sungai Dua, Butterworth menuju jambatan dianggarkan sejauh 20 kilometer sehingga banyak kenderaan ‘tersadai’.

Hampir keseluruhan penduduk Butterworth terpaksa menggunakan jambatan itu untuk berulang-alik ke tempat kerja di kawasan pulau. Belum campur mereka yang dari Kedah.

Kesesakan juga akan bertambah buruk semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Seingat penulis, ketika perkhidmatan feri ikonik masih dilaksanakan, kesesakan di Seberang Jaya dan Jambatan Pulau Pinang tidaklah seteruk sekarang ini kerana pengguna mempunyai alternatif lain, selain Jambatan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Memang betul, Pulau Pinang ada dua jambatan tetapi amat mustahil mereka dari arah Kedah akan menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan jambatan kedua Pulau Pinang.

Jadi, adakah pelaksanaan semula feri ikonik yang boleh membawa kenderaan empat tayar wajar dikembalikan? Benar, kos membaiki sebuah feri ikonik sangat mahal, kira-kira RM2.2 juta tetapi kos pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) - Laluan Mutiara dari Pulau Silikon melalui Bayan Lepas ke Komtar dan berakhir di Penang Sentral, Butterworth pun bukan murah harganya.

Bagi penulis, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan Pulau Pinang perlu menunjukkan kemampuan dalam memperbaiki sistem pengangkutan awam sedia ada.

Seperti LRT Laluan Mutiara, sudah tentu ada ruang untuk Putrajaya mempertimbangkan cadangan mengembalikan semula operasi perkhidmatan feri ikonik susulan tersedianya subsidi, dengan hasrat mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak di Jambatan Pulau Pinang.

Mengimbas kembali, pada Disember 2020, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri ikonik di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari 2021.

Sebaliknya, feri sedia ada akan terus beroperasi untuk kegunaan pengangkutan motosikal dan basikal sahaja.

Ramai tidak setuju dengan tindakan SPPP menamatkan perkhidmatan feri ikonik yang berusia 126 tahun itu untuk digantikan dengan bot laju.

Bagi mereka, salah satu tarikan Pulau Pinang akan hilang dan generasi akan datang tidak dapat merasai pengalaman menaikinya.

Harapan rakyat terhadap Kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di Jambatan Pulau Pinang amat tinggi kerana ia adalah isu utama yang memberi kesan kepada kehidupan harian.

Mereka mengharapkan sistem pengangkutan awam yang cekap, mudah diakses dan mesra pengguna termasuk menyegerakan pelaksanaan LRT- Laluan Mutiara.

Kerajaan negeri perlu merancang dan membangunkan laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap jambatan sedia ada seperti mempromosikan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai laluan pilihan dengan insentif tertentu, misalnya pengurangan tol pada waktu puncak.

Kesimpulannya, rakyat berharap kerajaan negeri bersikap proaktif dan inovatif dalam mengatasi kesesakan trafik.

Dengan pendekatan menyeluruh melibatkan infrastruktur, pengangkutan awam, teknologi pintar dan penglibatan rakyat, masalah kesesakan di Jambatan Pulau Pinang serta kawasan lain dapat dikurangkan secara berkesan.

*Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!