Pelabur emas 'kena sidai', untung tak dapat, modal yang lesap
PAGI semalam Merak Jalanan terbaca berita tentang seorang peniaga yang kerugian RM2 juta akibat terpedaya sindiket skim pelaburan tidak wujud.
Kalau nak tahu ada juga skim pelaburan yang syarikatnya wujud dan popular, namun pelabur tetap diperdaya!
Ada syarikat pelaburan (emas) yang sangat dikenali di Malaysia dan disertai ramai selebriti tetapi sampai sekarang pelaburnya masih tak dapat wang mereka walaupun harga emas sudah beberapa kali naik melambung!
Awal Disember 2023 ketika harga emas melonjak ke paras setinggi AS$2,135 seauns, beratus-ratus ribu ahli berdaftar syarikat itu buat jualan kerana mengimpikan pulangan berlipat ganda.
Namun, malang tidak berbau apabila hasil emas yang dijual atau terminate mengambil masa terlalu lama untuk masuk ke dalam akaun bank pelabur dan masalah itu masih berlarutan sehingga waktu Merak Jalanan menaip artikel ini.
Ramai kawan baik Merak Jalanan yang berdaftar dengan syarikat pelaburan emas itu menjadi mangsa dan kesal dengan apa yang berlaku.
Banyak kali juga syarikat tersebut menabur janji manis akan membayar semula wang pelabur, bermula awal Januari lalu tapi sampai nak melangkah ke tahun 2025 masih belum ada khabar berita.
Sudahlah janji tinggal janji, talian khidmat pelanggan mereka juga sukar dihubungi. E-mel hanya dibalas ayat meminta pelabur terus bersabar.
Kesannya kini ratusan ribu pelabur terpaksa ‘mengemis’ wang sendiri sehingga berbulan-bulan masuk ke setahun lamanya.
Zaman sekarang bukan setakat syarikat tidak diketahui statusnya perlu ditakuti, malah kita perlu lebih berhati-hati dengan syarikat kononnya sudah stabil.
Melangkah ke tahun baharu, bijaklah melabur wang di tempat yang betul dan selamat. Jangan terpedaya dengan pelaburan menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.
Sifir hidup ini mudah sahaja, wang tidak datang mudah jika kita tidak berusaha.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!