Laporan JKD perlu jadi asas reformasi pendidikan pasca 2025 - Pakar

Tangkap layar hantaran Anuar menerusi Facebook pada Rabu.
Tangkap layar hantaran Anuar menerusi Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) yang disiapkan pada 2019 perlu dibuka semula untuk dijadikan dokumen asas kepada reformasi pendidikan pasca 2025.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, ia merupakan dokumen laporan pendidikan paling komprehensif yang dimiliki selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, tiada laporan baharu selepas pandemik berkenaan selain JKD yang menjadikan ia sebagai sumber paling utama untuk melaksanakan reformasi pendidikan.

“Dokumen JKD itu sepatutnya dikongsikan secara terbuka kepada rakyat bagi meneliti isi kandungannya. Biar rakyat berbincang tentang reformasi pendidikan bagaimana yang mereka impikan.

“Kita sering kali mendengar laungan kepimpinan pendidikan negara untuk melakukan reformasi pendidikan tetapi apa sumber asas reformasi yang ingin mereka guna sebagai panduan?

“Antara 2019 hingga 2024, satu-satunya laporan yang boleh menjadi sumber utama untuk kita laksana reformasi menjelang tamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada 2025 nanti ialah JKD,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan JKD ditubuh melalui cadangan mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Pendidikan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, laporan kajian berkenaan berjaya dilengkapkan dan diserah kepada Menteri Pendidikan ketika itu Dr Maszlee Malik selepas hampir setahun pasukan JKD melakukan kajian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!