SSPA kurangkan jurang gaji sektor awam, swasta?

Pemberian gaji yang lebih baik kepada penjawat awam melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilihat mampu mengurangkan jurang pendapatan antara sektor awam dan swasta.
Pemberian gaji yang lebih baik kepada penjawat awam melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilihat mampu mengurangkan jurang pendapatan antara sektor awam dan swasta.
A
A
A

PEMBERIAN gaji yang lebih baik kepada penjawat awam melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilihat mampu mengurangkan jurang pendapatan antara sektor awam dan swasta.

Inisiatif tersebut juga menjadi 'pencegah' kepada rasa tidak puas hati yang boleh membawa kepada peningkatan kadar ketidakhadiran atau perpindahan ke sektor lain.

Menerusi peningkatan gaji melalui Skim SSPA, sektor awam dapat mengurangkan kadar peralihan ini, memastikan tenaga kerja yang berpengalaman kekal dalam perkhidmatan awam dan mengelakkan kehilangan kepakaran yang penting.

Salah satu tujuan utama Skim SSPA adalah untuk menyelaraskan gaji dan faedah penjawat awam supaya lebih setimpal dengan keperluan ekonomi dan perbandingan dengan sektor swasta.

Ini bermakna, kadar gaji dan manfaat penjawat awam disesuaikan dengan perubahan dalam ekonomi, kos sara hidup, dan daya saing pasaran kerja.

Saraan yang kompetitif juga dapat menarik bakat lebih berkelayakan dan berpengalaman untuk menyertai sektor awam di mana pada akhirnya dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Pada masa sama, skim itu juga menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha dan dedikasi penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pemberian gaji yang diterima itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan penerima wajib mengelakkan pemborosan atau penggunaan wang untuk perkara yang tidak produktif seperti membeli barangan mewah.

Ini kerana, jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh menyebabkan ketidakseimbangan kewangan peribadi dan membawa kepada masalah kewangan pada masa depan.

Sebaliknya, wang gaji SSPA boleh digunakan untuk membayar hutang yang tidak terkawal, seperti kad kredit atau pinjaman tidak berpatutan, boleh menimbulkan tekanan kewangan.

Ini boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan kewangan penjawat awam menyebabkan mereka terlibat dalam masalah hutang yang tidak berkesudahan.

Sebelum ini media melaporkan, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan ahlinya agar tidak menambah hutang baharu sejurus menerima kenaikan gaji pertama Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa hari ini.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, setiap anggota perkhidmatan awam diseru supaya bijak berbelanja biarpun menikmati pelarasan kadar gaji baharu sebanyak lapan peratus bermula Disember 2024.

Menurutnya, tiada keperluan bagi anggota perkhidmatan awam membuat pinjaman baharu ataupun pinjaman bertindih atas pinjaman lama kerana dikhuatiri menjejaskan peningkatan produktiviti akibat terbelenggu dengan hutang yang melampau.

Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!