Malaysia, Thailand kukuh kerjasama ekonomi termasuk dalam industri halal
MALAYSIA dan Thailand bersepakat mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam pelbagai industri termasuk halal, getah, pelancongan, digital, grid tenaga dan bekalan gas serta pengurusan sempadan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatwa menggalakkan pihak berkuasa berkaitan kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama lebih kukuh menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai antara Digital Economy Promotion Agency of Thailand serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia pada 2023.
Kata mereka, tujuannya adalah untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang dapat menarik pelabur untuk menyokong syarikat teknologi berpotensi di kedua-dua negara.
Malah, Anwar dan Paetongtarn turut mengalu-alukan perbincangan lanjut oleh pegawai dari kedua-dua negara terbabit mengenai skim ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ yang dicadangkan oleh Thailand.
“Sehubungan itu, kedua-dua negara bersetuju menimbang potensi kempen bersama untuk mempromosikan secara bersama inisiatif ‘Visit Malaysia 2026’ dan ‘Amazing Thailand Grand Tourism Year 2025’,” katanya menerusi kenyataan bersama dikeluarkan oleh Kementerian Luar baru-baru ini.
Selain itu, dua pemimpin itu juga bersetuju untuk membangunkan industri saling melengkapi yang lebih meluas di kedua-dua negara berkenaan memandangkan ekonomi halal global diunjur mencecah AS$5 trilion (RM22.24 trilion) menjelang 2030.
Ia termasuk meneruskan aktiviti galakan eksport bersama bagi barangan dan perkhidmatan halal; pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan perniagaan; penyelidikan dan pembangunan produk halal serta kerjasama lebih aktif melibatkan sektor awam dan swasta Malaysia serta Thailand.
“Malaysia juga bersedia menyokong pegawai Thailand dalam membangunkan ekosistem halal tempatan dengan menawarkan kursus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
“Inisiatif ini akan memberi peluang kepada Thailand untuk mendapatkan pandangan tentang piawaian dan amalan halal sambil membantu mengukuhkan sektor halalnya,” kata kenyataan itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!