Dapur Shangri-La Hotel peroleh sijil halal
HOTEL terkemuka, Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini menerima sijil halal bagi beberapa dapur miliknya daripada panel pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ia melibatkan operasi bankuet hotel dan restoran bufet yang terkenal dengan hidangan tempatan dan antarabangsa iaitu Lemon Garden.
Menurut Pengurus Besarnya, Daniel Karflein, pengiktirafan itu menguatkan lagi komitmen rangkaian hotel tersebut untuk memberikan pengalaman berkualiti tinggi dan halal kepada pelanggannya untuk menjamu selera tanpa ragu.
“Kami berbesar hati menerima pensijilan halal daripada Jakim.Kami akan terus memberikan layanan yang tulus dan menyajikan hidangan yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, keaslian dan pematuhan halal,” katanya dalam satu kenyataan menerusi portal businesstoday.com baru-baru ini.
Bagi mereka yang mahu menikmati hidangan bufet yang meriah dari stesen masak secara langsung, Lemon Garden menawarkan pelbagai jenis hidangan Melayu tempatan, daging panggang segar dan piza bakar.
Shangri-La Kuala Lumpur turut menyediakan rangkaian jamuan dan perkhidmatan katering untuk pelbagai acara menerusi operasi bankuetnya yang mendapat pensijilan halal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!