Pemandu halang laluan ambulans beri alasan kejar penerbangan ke luar negara
KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya mengesan sebuah kereta jenis Toyota Corolla Cross yang dipandu dan dipercayai menghalang ambulans semasa tugasan kecemasan di Jalan Klang-Banting, di sini.
Pemilik kereta itu dikesan kira-kira jam 11.30 malam, pada Khamis di Teluk Bunut, Banting, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 malam, pada Rabu.
Katanya, semasa ambulans terbabit bergerak dengan memasang lampu 'beacon light' dan siren dari arah Klinik Kesihatan Jenjarom menghala ke Hospital Banting, sebuah kereta jenis Toyota Corolla Cross di hadapannya tidak memberi laluan.
"Ketika kejadian, ambulans berkenaan sedang membawa pesakit.
"Pemandu ambulans iaitu lelaki tempatan berusia 30-an telah hadir oleh pegawai penyiasat trafik untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan yang direkodkan, semasa kejadian kereta dipandu anak lelaki kepada pemilik kereta berkenaan sedang menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana bimbang terlepas masa penerbangan ke luar negara.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tegasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor S Taneswaran di talian 012-6708561 atau IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.
Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi 58 saat di media sosial Facebook pada Khamis melibatkan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya dan menghalang ambulans dalam tugasan kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!