Penternakan satu bentuk ibadah

Gabungan transformasi teknologi, cabaran dan pematuhan prinsip Islam jadikan industri itu lebih produktif

DALAM Islam, amalan penternakan bukan sekadar kegiatan ekonomi semata-mata, tetapi juga ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut garis panduan syarak. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: DR NUR AMLYA (atas) dan DR HASHIM
DALAM Islam, amalan penternakan bukan sekadar kegiatan ekonomi semata-mata, tetapi juga ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut garis panduan syarak. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: DR NUR AMLYA (atas) dan DR HASHIM
A
A
A

PENTERNAKAN salah satu cabang utama dalam sektor pertanian yang telah lama menjadi sumber rezeki bagi penduduk luar bandar dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), industri itu menyumbang sebanyak 14.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2018. Ia menjadikannya subsektor yang kritikal dalam jaminan bekalan makanan dan pengurangan import daging.

Namun, bidang itu menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan transformasi menyeluruh bagi memastikan daya saing, kelestarian dan pematuhan kepada prinsip Islam.

Dalam Islam, amalan penternakan bukan sekadar kegiatan ekonomi semata-mata, tetapi juga ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut garis panduan syarak.

ALLAH SWT berfirman: “Dan DIA menciptakan binatang ternak untuk kamu, padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan pelbagai manfaat dan sebahagiannya kamu makan.” (Surah an-Nahl: 5)

GABUNGAN ilmu, teknologi dan sokongan berterusan, sektor penternakan Malaysia boleh menjadi lebih cekap, produktif dan berdaya saing bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik tetapi juga sebagai pemain utama dalam pasaran global. -Foto: CANVA
GABUNGAN ilmu, teknologi dan sokongan berterusan, sektor penternakan Malaysia boleh menjadi lebih cekap, produktif dan berdaya saing bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik tetapi juga sebagai pemain utama dalam pasaran global. -Foto: CANVA

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT menciptakan ternakan untuk kemudahan manusia. Bagaimanapun, tanggungjawab menjaga, memanfaatkan dan memeliharanya perlu dilaksanakan dengan teliti.

Artikel Berkaitan:

Cabaran

Walaupun penternakan telah berkembang dari kaedah tradisional ke skala lebih besar, beberapa kekangan masih menghalang potensinya.

Antara isu utama adalah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang rendah dalam kalangan penternak. Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2018, sistem sedia ada lemah dari sudut pengumpulan rekod dan berbeza mengikut ladang dan negeri.

Kekurangan itu menyebabkan penternak sulit untuk menerima maklumat terkini dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar menghadapi kesukaran merekod data haiwan.

Selain itu, tahap pendidikan yang rendah dalam kalangan penternak turut menghambat penerapan teknologi baharu. Menerusi satu kajian pada 2018, penternak dengan tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke atas lebih berpeluang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi berbanding mereka yang memiliki pendidikan lebih rendah.

Ia ditambah lagi dengan ketidakstabilan pasaran dan perubahan kualiti hasil ternakan terus menjadi cabaran besar. Bahkan, pandemik Covid-19 turut menyaksikan peralihan kepada penjualan dalam talian, tetapi usaha promosi dan penjualan digital masih belum sepenuhnya dimanfaatkan.

ALLAH SWT menciptakan ternakan untuk kemudahan manusia, tetapi tanggungjawab menjaga, memanfaatkan dan memeliharanya perlu dilaksanakan dengan teliti. -Foto: CANVA
ALLAH SWT menciptakan ternakan untuk kemudahan manusia, tetapi tanggungjawab menjaga, memanfaatkan dan memeliharanya perlu dilaksanakan dengan teliti. -Foto: CANVA

Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian adalah kemajuan teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan peluang besar untuk mentransformasikan sektor penternakan di Malaysia.

Paling penting, penggunaan teknologi moden itu tidak bercanggah dengan Islam selagi ia mematuhi prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Apatah lagi kemudahan AI dapat membantu dalam pelbagai aspek termasuk pemantauan kesihatan haiwan, pengurusan makanan dan pengumpulan data secara automatik.

Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual, mempercepatkan rawatan dan mengelakkan penyebaran penyakit.

Di samping itu, pengurusan ladang menggunakan teknologi AI juga dapat mengoptimumkan sumber seperti air dan makanan ternakan. Penggunaan sumber yang cekap itu mematuhi prinsip hifz al-mal (menjaga harta).

Bagi penternak kecil dan sederhana, AI boleh digunakan dalam pemasaran digital. Platform e-dagang dikuasakan oleh AI dapat membantu penternak menjual produk mereka secara lebih efektif selari dengan slam yang menggalakkan perdagangan secara adil dan telus.

Peranan kerajaan, industri swasta

Jika diteliti, kerajaan telah mengambil langkah untuk menyokong penternak melalui pelbagai program dan peruntukan seperti Bajet 2019 yang memperuntukkan RM167.98 juta membantu golongan petani, penternak dan nelayan.

Ia selari dengan tanggungjawab pemerintah dalam Islam yang diamanahkan untuk memastikan kebajikan rakyatnya.

DENGAN memanfaatkan teknologi seperti AI dan mengatasi cabaran yang ada serta berpegang kepada prinsip Islam, industri itu boleh menjadi lebih produktif, cekap dan lestari. -Foto: CANVA
DENGAN memanfaatkan teknologi seperti AI dan mengatasi cabaran yang ada serta berpegang kepada prinsip Islam, industri itu boleh menjadi lebih produktif, cekap dan lestari. -Foto: CANVA

Antara keperluan utama dalam sektor penternakan termasuklah bekalan elektrik, air, vaksin haiwan dan akses jalan raya lebih baik.

Pihak swasta digalakkan untuk menyokong usaha itu melalui inisiatif wakaf produktif dan zakat perniagaan bagi menyediakan teknologi atau infrastruktur bagi manfaat penternak kecil.

Dengan populasi dunia yang semakin meningkat, permintaan terhadap daging dan produk ternakan juga terus bertambah terutama di negara membangun seperti Malaysia.

Penternakan secara kilang yang menyumbang 40 peratus bekalan daging global perlu diperkasakan melalui teknologi moden untuk memenuhi permintaan itu.

Pada masa sama, pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha mendidik penternak mengenai manfaat teknologi berkenaan.

Islam menyeru agar kita sentiasa berhemat dan tidak merosakkan alam sekitar.

Dengan gabungan ilmu, teknologi dan sokongan berterusan, sektor penternakan Malaysia boleh menjadi lebih cekap, produktif dan berdaya saing bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik tetapi juga sebagai pemain utama dalam pasaran global.

Apa pun, penternakan adalah nadi penting dalam sektor pertanian Malaysia. Dengan memanfaatkan teknologi seperti AI dan mengatasi cabaran yang ada serta berpegang kepada prinsip Islam, industri itu boleh menjadi lebih produktif, cekap dan lestari.

Transformasi itu tidak hanya menjamin bekalan makanan, tetapi juga membuka peluang besar untuk meningkatkan taraf hidup penternak dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.

*Artikel ditulis oleh Dr Nur Amlya Abd Majid & Dr Hashim Ahmad Shiyuti yang merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!