Lelaki dikurung, ditekap seterika selepas didakwa hamilkan teman wanita
TAWAU - Seorang lelaki bukan saja cedera akibat dipukul malah turut melecur akibat ditekap dengan seterika panas selepas mendakwa dikurung ahli keluarga teman wanitanya dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, di sini pada Khamis.
Mangsa berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan bertindak mendapatkan bantuan orang ramai sebelum laporan polis dibuat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula berlaku pada Selasa lalu selepas mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.
Menurutnya, mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas dari pada keesokkan harinya yang meminta mangsa datang ke rumahnya.
"Selepas tiga jam kemudian, mangsa tiba di rumah keluarga teman wanitanya dan diarah masuk ke dalam bilik dan mendakwa telah dikurung oleh bapa wanita tersebut.
"Situasi bertambah tegang apabila mangsa mendakwa dipukul dengan kepala tali pinggang dan ditumbuk di bahagian kepala oleh abang teman wanitanya selain turut diancam dengan pedang samurai.
"Teman wanita mangsa pula didakwa turut mencederakannya dengan alat seterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kiri mangsa melecur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jasmin berkata, mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam.
"Susulan kejadian itu, kira-kira jam 10.30 malam, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan dua suspek lelaki berusia antara 30 tahun dan 64 tahun serta seorang suspek wanita berusia 25 tahun selepas cuba untuk melarikan diri.
"Turut dirampas seterika, telefon bimbit dan pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian," katanya.
Ujarnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!