[VIDEO] Tipu dana babit Papagomo: Polis rekod 16 keterangan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan 16 keterangan individu untuk siasatan kes tipu wang dana membabitkan blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas dilengkapkan.
"Terdapat beberapa perkara perlu dikemas kini serta dilengkapkan dan setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Selepas kertas siasatan dilengkapkan, ia akan dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut,” katanya pada Jumaat.
Sebelum itu, media melaporkan polis mengesahkan Papagomo ditahan di rumahnya di Putrajaya oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Turut difahamkan, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes memanipulasikan nama sebuah syarikat bagi mengutip dana daripada orang awam.
Difahamkan, penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat seorang menteri pada Julai lalu.
Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik Papagomo dan blogger terbabit sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, bagi siasatan lanjut.
Berikutan itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam kenyataan berkata, Wan Muhammad Azri ditahan kira-kira pada 1.30 pagi dan laporan ini terkait satu isu berkenaan syarikat Invoke Solutions.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!