Cadang moratorium terhadap siasatan, pendakwaan berkait satira - Syahredzan

Sebelum ini, polis merakam percakapan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza bagi membantu siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

A
A
A

SHAH ALAM - Suatu moratorium wajar dikenakan ke atas apa-apa siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta 588 berkait karya satira dan parodi.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, penggantungan itu dicadangkan sementara menunggu proses perkenan diraja, pewartaan dan penentuan tarikh kuat kuasa bagi pindaan tersebut.

“Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024.

“Kelulusan Parlimen bagi RUU ini memberikan mesej jelas mengenai keperluan melindungi satira dan parodi, akan tetapi pindaan-pindaan tersebut masih belum berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, polis merakam percakapan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza bagi membantu siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Syahredzan memberitahu bahawa keputusan kerajaan membentangkan RUU pindaan terhadap Akta 588 yang mengeluarkan satira dan parodi daripada elemen ‘palsu’ dalam Seksyen 233(1), adalah suatu langkah diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan tersebut secara tidak langsung akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas untuk karya seni dan sastera.

“Oleh kerana karya satira dan parodi masih terangkum bawah elemen palsu dalam Seksyen 233(1) Akta 588 buat masa ini dan pindaan-pindaan yang diluluskan tidak mempunyai kesan retrospektif.

“Moratorium yang dicadangkan adalah untuk menghormati penzahiran niat perundangan (legislative intention) dalam meluluskan RUU pindaan tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepada pihak berkuasa bahawa setiap rakyat Malaysia berhak ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Jelas Syahredzan, hak itu hanya boleh disekat melalui undang-undang jika ia menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!