ESG buka peluang syarikat tempatan perkukuh kedudukan di peringkat global

NIOSH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya bahawa pelaksanaan ESG akan memberikan impak positif yang besar terhadap ekonomi negara.. Gambar hiasan
NIOSH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya bahawa pelaksanaan ESG akan memberikan impak positif yang besar terhadap ekonomi negara.. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan bukan sahaja mampu menarik pelaburan asing tetapi juga membuka peluang untuk syarikat tempatan memperkukuhkan kedudukan di peringkat global.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya bahawa pelaksanaan ESG akan memberikan impak positif yang besar terhadap ekonomi negara.

“Kami menyambut baik pelan diumumkan kerajaan dan akan terus memberikan penyelesaian untuk menyokong inisiatif ESG yang mampu mengurangkan kos kepada organisasi serta pelanggan.

“NIOSH juga bersedia membantu pihak industri termasuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyediaan perkhidmatan penyelesaian ESG seperti latihan, penilaian strategi, pelaporan, integrasi operasi perniagaan, jaminan (assurance) serta perkhidmatan verifikasi pematuhan standard tempatan atau antarabangsa.

“Langkah yang diambil tersebut berupaya memastikan syarikat PMKS mampu menyesuaikan diri dan tidak terbeban dalam pelaksanaan prinsip ESG melalui pendekatan secara berperingkat seperti disarankan oleh kerajaan,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan ESG Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024 pada Rabu.

Beliau berkata, pelan tersebut dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, malah ke peringkat melangkaui tahap pematuhan sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif serta pembangunan mampan negara.

Dalam pada itu, NIOSH turut berkongsi pengalaman, kepakaran dan pelbagai kemudahan di 13 makmal bertaraf antarabangsa untuk membantu pihak industri terutama PMKS.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perkara tersebut mampu meningkatkan pematuhan terhadap pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk berkaitan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 serta matlamat ditetapkan di bawah Pelan Strategik ESG Kebangsaan.

“NIOSH turut menetapkan pematuhan kelestarian ESG dalam operasi harian dan perkhidmatan terasnya seperti pelaksanaan proses pendigitalan serta sistem pengurusan mengikut standard antarabangsa bagi aktiviti latihan atau perkhidmatan rundingan.

“Tata amalan baik ini terbukti dapat menambah baik kualiti penyampaian, memperkasakan keselamatan atau kesihatan pekerjaan, memelihara alam sekitar dan meningkatkan integriti serta ketelusan pentadbiran,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!