Reversi sentuhan berbeza Adrian Teh
NAMA Adrian Teh sememangnya sinonim dengan filem aksi seperti Paskal, Wira, MALBATT: Misi Bakara atau The Assistant.
Tidak mahu dikenali sebagai pengarah streotaip, Adrian, 40, tampil dengan sebuah sains fiksyen dramatik, Reversi.
Filem yang mengetengahkan tema perjalanan waktu ini sememangnya jarang dihasilkan oleh pembikin layar lebar, tetapi masih sebuah naskhah yang menarik perhatian ramai.
Reversi secara ringkasnya mengisahkan kasih sayang seorang suami yang tidak berkesudahan terhadap isteri dan anak lelakinya, sehingga berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan kesilapan lampaunya.
Walaupun kita sering diingatkan bahawa masa tidak boleh diulang kembali, tetapi filem ini akan membuatkan anda terfikir seandainya masih boleh diulang, bolehkah kita mengubah takdir yang sudah tertulis?
Tarikan utama filem ini bagi penulis adalah penglibatan pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani dan Zahiril Adzim.
Keduanya adalah jalan cerita yang menarik mengenai takdir dua lelaki berbeza tetapi berkait iaitu Akid dan bapanya, Aziz lakonan Hasnul.
Jika kita sering kali disogok bagaimana seorang ibu kehilangan anak tersayang atau isteri kehilangan suami, kali ini Adrian memilih untuk memotretkan bagaimana seorang suami dan ayah berdepan dengan pemergian isteri dan anak tersayang.
Sejujurnya, filem ini terasa agak perlahan pada awalnya, namun tatkala tiba ke kemuncak, Reversi banyak bermain dengan emosi yang begitu berat sehingga menyentuh perasaan.
Tambahan pula dengan lakonan mantap para pemainnya, membuatkan Reversi memberi aura berbeza kepada penonton.
Jika anda mahukan sebuah karya berbeza, mungkin Reversi boleh menjadi pilihan pada hujung minggu.
REVERSI
PENGARAH: Adrian Teh
PELAKON: Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat
GENRE: Drama / Sains Fiksyen
DURASI: 2 Jam 12 Minit
KLASIFIKASI: 13
TAYANGAN: 19 Disember 2024
BINTANG: 3.5/5
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!