MAIWP cari pemilik Twitter @bara_sigur

Twitter MAIWP
Twitter MAIWP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menasihatkan semua pihak yang ingin mendapat maklumat berkaitan bantuan agar tampil menyatakan pusat zakat negeri mana yang kelolakan bantuan mereka bagi memudahkan siasatan lanjut dilaksanakan.

MAIWP berkata demikian bagi menjelaskan mesej tular di Twitter mengenai seorang lelaki dikenali @bara_sigur yang kecewa setelah permohonan bantuan zakat bagi menampung kos rawatan pembedahan adiknya ditolak.

Ciapan tersebut menyatakan permohonan keluarganya ditolak oleh pusat zakat kerana ibunya memiliki sebuah motosikal.

Bagaimanapun, ciapan tersebut kemudiannya telah dipadam oleh @bara_sigur.

MAIWP berkata, sebagai agensi mengurus zakat, pihaknya terpanggil untuk meminta individu atau sesiapa sahaja yang mengenali @bara_sigur dapat memaklumkan kepada pihaknya terutama pusat zakat mana yang dimaksudkan.

"Pihak kami dan beberapa agensi zakat negeri lain telah cuba menghubungi @bara_sigur, tetapi tidak mendapat maklum balas.

"Ini penting bagi membolehkan pusat zakat berkaitan membuat semakan terhadap perkara yang dibangkitkan dan memberi maklum balas lanjut.

"Untuk makluman, zakat diuruskan mengikut negeri sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia," tulis MAIWP yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Artikel Berkaitan:

MAIWP berkata, ciapan sebegini dilihat tidak bertanggungjawab dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pengurusan zakat.

"Kami tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat unsur fitnah dalam mana-mana kenyataan," katanya.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai kenyataan individu bernama @bara_sigur mengecam pusat zakat didakwa tidak meluluskan bantuan pembedahan adiknya gara-gara ibunya seorang ibu tunggal dan memiliki sebuah motosikal.

Individu itu juga mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pusat zakat berkenaan.

Dalam pada itu, individu tersebut juga mengeluarkan kenyataan demi menjaga keselamatan dan jaminan kebajikan ibunya, dia terpaksa memadamkan ciapan Twitter.

Malah pada hantaran sama, dia juga sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib dan pegawai berkaitan yang telah memberi rspon serta akan menghubunginya untuk memberi penerangan lanjut berhubung kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!