Kepengerusian ASEAN 2025 agenda utama negara tahun depan
KUALA LUMPUR - Sedekad selepas Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, pada 1 Januari ini negara diberi tanggungjawab sekali lagi mempengerusikan perkumpulan serantau itu, menjadi antara fokus utama agenda nasional tahun depan.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi bulan depan, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Acara lain yang berkaitan termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, pada bulan Oktober.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata bahawa jawatan Pengerusi ASEAN 2025 memberikan peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengemudi blok itu selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, dan Malaysia komited untuk melakarkan hala tuju ASEAN yang lebih berdaya tahan, kreatif serta mengutamakan rakyat.
Di bawah tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', Malaysia ditetapkan untuk menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Selain itu, Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-54 akan diadakan pada bulan Februari, dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dipilih sebagai hos.
Kali terakhir Bernama menganjurkan Mesyuarat Lembaga Eksekutif pertubuhan itu adalah pada 2015 dengan tema ‘Media Sosial dan Cabaran Dihadapi Agensi-agensi Berita’.
OANA ditubuhkan pada tahun 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mendapatkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau yang didiami oleh lebih separuh daripada penduduk dunia.
Tahun 2025 juga akan menyaksikan kembalinya acara dwitahunan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) bagi edisi ke-17 yang dijadualkan dari 20 hingga 24 Mei.
Dengan tema ‘Inovasi Hari ini, Kemajuan Masa Depan' LIMA '25 akan menampilkan beberapa segmen baharu bagi menarik penyertaan lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana, khususnya dalam sektor aeroangkasa dan maritim.
Sementara itu Selangor, Kedah dan Perlis (2024-2025) akan menganjurkan Tahun Melawat Negeri 2025 untuk mempamerkan tarikan pelancongan negeri masing-masing, sekali gus menjana peluang ekonomi.
Selain itu Melaka akan menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, sebagai platform untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 juga dijadualkan berlangsung tahun depan, dengan penggal kerajaan semasa tamat pada Oktober 2025, dan pilihan raya mesti berlaku dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Acara penting lain tahun ini termasuk sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 yang dijangka berlangsung pada bulan Mei dan pembentangan Bajet 2026 pada bulan Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!