Public Bank halang 3.42 juta urus niaga bernilai RM1.65 bilion daripada akaun keldai
PASUKAN Scam Ranger Public Bank berjaya menghalang lebih daripada 3.42 juta urus niaga dengan nilai RM1.65 bilion yang melibatkan seramai 1.12 juta pelanggan daripada terjerumus dalam akaun keldai setakat September 2024.
Dalam kenyataannya pada Jumaat, Public Bank berkata, pasukan itu merupakan inisiatif membabitkan kumpulan pakar keselamatan siber yang turut menjelajah ke serata Malaysia untuk memberi kesedaran serta mendidik orang ramai mengenai trend penipuan terkini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, bank itu terus meningkatkan amalan terbaik dalam melindungi akaun pelanggannya, termasuk menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani isu scam yang semakin berleluasa.
"Sejak pengenalan tempoh bertenang untuk urusan dibuat oleh pelanggan, urus niaga bernilai RM2.7 juta yang melibatkan 530 orang pelanggan telah berjaya dihalang daripada lesap akibat aktiviti peipuan.
"Pelanggan diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil tahu mengenai pelbagai modus operandi scam dan penipuan terkini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Public Bank berkata, pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan termasuk menerusi emel, media sosial dan papan iklan bagi mendidik pelanggan dalam isu berkenaan.
Pelanggan juga diingatkan untuk mematuhi beberapa pesanan penting untuk mengelak ditipu.
Ini termasuk tidak mendedahkan maklumat pengenalan diri dan kata laluan walaupun diugut, mengelak daripada menghubungi nombor telefon mencurigakan atau mengklik sebarang pautan diterima melalui hantaran media sosial, emel atau pesanan ringkas.
"Pelanggan juga diingatkan agar tidak mendaftar bagi kursus kewangan atau skim pelaburan serta memberi maklum balas terhadap iklan pinjaman dengan kadar faedah rendah melalui platform media sosial,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!