Tujuh terbunuh dalam rusuhan penjara di Tabasco, Mexico
BOGOTA - Rusuhan di sebuah penjara di negeri Tabasco, Mexico telah mengakibatkan tujuh banduan maut dan beberapa yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik laporan media tempatan pada Khamis.
Kejadian berlaku di Pusat Pemulihan Sosial (CREST) di Villahermosa, Tabasco.
Ketua Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Rakyat, Víctor Hugo Chavez Martínez berkata, kekacauan tercetus susulan pemindahan dua banduan, yang memaksa pihak polis melancarkan operasi untuk mengawal keadaan.
Pihak berkuasa turut merampas sejumlah besar senjata, alat pemotong, dan bahan letupan semasa operasi itu.
Berita mengenai rusuhan itu menyebabkan keluarga banduan berkumpul di luar penjara untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan orang tersayang mereka. - Bernama-AA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!