[VIDEO] MOT terus didesak tetapkan harga lantai tambang e-hailing

A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Gerakan Badan Bertindak Sahabat e-hailing Malaysia terus mendesak Kementerian Pengangkutan (MOT) agar menetapkan kawalan harga lantai tambang e-hailing melibatkan semua syarikat pengendali e-hailing (EHO) yang beroperasi di negara ini.

Terbaharu kumpulan yang mempunyai lebih 1,000 ahli itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di kementerian itu pada Jumaat.

Zailani (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan MOT, Roslan Mohamad pada Jumaat.
Zailani (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan MOT, Roslan Mohamad pada Jumaat.

Timbalan Pengerusi, Zailani Zainuddin berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 21 Januari tahun hadapan untuk MOT menguatkuasakan tambang e-hailing berkenaan.

“Perkara ini sudah berlarutan terlalu lama seperti tiada pengakhirannya. Kami berharap Menteri Pengangkutan dapat mengambil tindakan segera supaya ia dapat diselesaikan.

“Saya yang mewakili sahabat-sahabat pemandu e-hailing, mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama, perhatian dan tindakan yang diberikan terhadap memorandum ini,” katanya.

Sebahagian pemandu e-hailing yang hadir pada Perhimpunan Aman Sahabat e-hailing Malaysia yang diadakan di kawasan parkir awam berhampiran MOT pada Jumaat.
Sebahagian pemandu e-hailing yang hadir pada Perhimpunan Aman Sahabat e-hailing Malaysia yang diadakan di kawasan parkir awam berhampiran MOT pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Aman Sahabat e -hailing Malaysia yang diadakan di kawasan parkir awam berhampiran MOT pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan MOT, Roslan Mohamad.

Menerusi memorandum berkenaan, tambang minima e-hailing yang dicadangkan adalah berbeza mengikut negeri.

Tambang minima untuk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Melaka adalah RM8 diikuti dengan negeri lain RM7 selepas komisen dibayar EHO

Bagi tambang per kilometer (km) yang dicadangkan menerusi kategori yang sama masing-masing RM1.50 dan RM1.25.

Selain itu, turut dicadangkan tambang dari pusat bandar Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditetapkan kepada RM90 bagi kereta sedan selepas komisen dibayar EHO.

Turut perlu diberi perhatian adalah kadar caj tengah malam yang perlu dinaikkan melebihi 25 peratus termasuk harga ke pusat Peranginan Genting Highlands dengan kadar 50 peratus tambahan daripada harga biasa.

Sebelum ini Anthony pada sesi Dewan Rakyat pada November berkata, MOT masih belum berhasrat untuk mengawal selia tambang e-hailing buat masa kini kerana sekiranya harga lantai ditetapkan, harga tambang kepada pengguna juga mungkin meningkat.

Beliau berkata, penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna.

Jelasnya, pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan jumlah penawaran menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!