Tiket 'sold out', genKRU tawar konsert hari kedua

Selepas kali terakhir membuat persembahan pada 2018, Norman, Yusry dan Edry bakal menjayakan konsert genKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei depan. Foto Bernama
Selepas kali terakhir membuat persembahan pada 2018, Norman, Yusry dan Edry bakal menjayakan konsert genKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei depan. Foto Bernama
A
A
A

TIKET konsert genKRU oleh trio legenda KRU yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei depan, habis terjual dalam tempoh sejam selepas dilancarkan dalam talian bermula 11 pagi tadi.

Fenomena tersebut membuktikan populariti kumpulan tiga beradik ini yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim masih utuh dan mengungguli carta hati peminat pelbagai generasi.

Kemunculan semula pelantun lagu popular antaranya Fanatik dan Awas itu juga nyata dinantikan penggemar setianya yang telah siap sedia untuk bertarung di depan peranti masing-masing bagi mendapatkan tiket ke konsert bertemakan era 1990-an itu.

Pengguna laman X @wallawaniey antara yang meluahkan rasa gembira apabila berjaya mendapatkan tiket tersebut selepas 'bertempur' dengan ribuan peminat yang lain.

"Finally dapat beli tiket konsert KRU... first time nak tengok KRU menyanyi live depan-depan tak sabarnyaaa!!! Membesar dengan lagu-lagu KRU dari zaman sekolah. See you in 2025 to all genKRU," tulisnya.

Pengguna @small_elf1 juga antara yang beruntung dan bakal berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan muzik legenda itu.

"Akhirnya selepas satu jam setengah jam dapat jugak tiket KRU. jangan give up, yeayy tahun depat dapat jumpa KRU," katanya.

Namun tidak kurang juga yang kecewa akibat ‘kalah dalam pertarungan tersebut’ walaupun telah bersiap sedia seawal mungkin bagi merealisasikan impian untuk melihat bintang pujaan mereka beraksi secara langsung.

Artikel Berkaitan:

"Nak beli tiket KRU pun battle macam beli tiket EXO ke.... Dah lah aku give up lah dari tadi tak boleh " luah @kim_suhooo.

Adila Wahab pula berharap pihak penganjur akan menawarkan edisi kedua agar lebih ramai yang berpeluang menonton persembahan yang dinanti sejak sekian lama.

"Saya telah mula bersiap sedia sejak 10.45 pagi, tapi sejam kemudian baru dapat akses ke laman web ticket2u, tapi malangnya once dah berjaya masuk tiket pula sold out, semua kategori paling mahal juga sudah sold out," kongsinya.

Turut senada pengguna X @syeebae yang telah sedaya upaya cuba mendapat tempat.

"Tiket KRU tak dapat beli wei, memanjang Sold Out. Sabar jela aku, nk 2nd day concert please."

Sementara itu, penganjur konsert berkenaan, Iman Tang daripada Icon Entertainment berkata, atas permintaan ramai, pihaknya akan mengumumkan penjualan tiket bagi konsert hari kedua dalam masa terdekat.

Beliau berkata, seramai 10,000 pembeli tiket sudah bersedia untuk ‘battle' membeli tiket seawal 8.30 pagi dan ini merupakan satu penghargaan dan respons positif untuk artis tanah air.

"Kita buka pembelian tiket pada 11 pagi tadi dan ia habis dijual sejam kemudian. Kami sangat terharu dengan sambutan di luar jangka ini. Fenomena ini sudah dijangka kerana melihatkan populariti dan profil KRU yang merupakan antara ikon negara kita,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!