PM tiba di Kota Kinabalu untuk perasmian tilawah al-Quran malam ini
KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan malam ini.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba pada jam 1.30 tengah hari dan disambut ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.
Turut berada di lapangan terbang beberapa menteri dan pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan di Sabah.
Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dan ahli parti itu serta ahli Parti Warisan Sabah turut menyambut ketibaan Perdana Menteri.
Dr Mahathir dijadual merasmikan majlis tilawah al-Quran itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada jam 8.30 malam ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!