Bangkai gajah reput ditemui dalam ladang
LAHAD DATU - Bangkai seekor gajah jantan ditemukan hampir reput di kawasan ladang di Jalan Silam, di sini pada Khamis.
Gajah tersebut ditemukan pada jam 1 tengah hari oleh mandur ladang berkenaan sebelum laporan dibuat kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Difahamkan, hasil pemeriksaan pegawai JHL tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dilihat pada gajah tersebut.
Namun keadaan bangkai sudah mulai mereput dan bedah siasat telah dilakukan terhadap haiwan tersebut.
Sementara itu, Pengarah JHL Sabah Roland Oliver Niun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penemuan bangkai gajah tersebut
"Kita belum terima maklumat terperinci mengenai penemuan gajah tersebut kerana mereka sedang buat bedah siasat untuk laporan seterusnya," katanya pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!