Haramkan TikTok bagi 16 tahun ke bawah jika masih gagal pastikan kandungan selamat
KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan pengharaman penggunaan TikTok kepada mereka yang berumur 16 tahun ke bawah sekiranya platform itu masih gagal memastikan kandungan yang selamat.
Senator Datuk C Sivaraj berkata, isu kandungan tidak bermoral yang semakin berleluasa di platform TikTok merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.
"TikTok dan platform asing lain lebih mementingkan keuntungan daripada menjaga nilai moral dan keselamatan pengguna, terutamanya anak muda. Algoritma penapisan kandungan mereka gagal sepenuhnya.
"Jika masalah ini berlarutan, mengharamkan TikTok sepenuhnya adalah satu langkah yang wajar demi kebaikan negara. Kita tidak boleh tunduk kepada platform yang tidak menghormati nilai dan prinsip kita," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam tempoh 2022 hingga 1 Disember lepas, sejumlah 3,571 laman web berunsur lucah telah disekat dan sebanyak 1,947 kandungan lucah di media sosial diturunkan, dengan 71.2 peratus daripada kandungan berkenaan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Sivaraj berkata, walaupun kerajaan sudah menetapkan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), platform TikTok tetap menunjukkan kelemahan ketara dan seharusnya tidak membiarkan kepentingan asing merosakkan akhlak anak-anak.
Justeru, katanya, kerajaan harus bertindak tegas dan melihat isu berkenaan dengan lebih jauh termasuk mempertimbangkan pembangunan platform media sosial tempatan yang lebih selamat dan terkawal.
"Platform ini bukan sahaja dapat melindungi anak-anak kita daripada pengaruh buruk, tetapi juga memberi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka secara berkesan.
"Dengan adanya platform digital kita sendiri, kita dapat memastikan data rakyat dilindungi dan kawalan berada di tangan kita," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!