Syria Care hantar 792 kotak pakaian musim sejuk ke Lubnan

Siti Sakinah (kanan) meninjau kotak pakaian musim sejuk yang akan disumbangkan kepada pelarian Syria di Lubnan.
Siti Sakinah (kanan) meninjau kotak pakaian musim sejuk yang akan disumbangkan kepada pelarian Syria di Lubnan.
A
A
A

SHAH ALAM - Syria Care berjaya mengumpulkan sebanyak 792 kotak pakaian musim sejuk merangkumi baju tebal, kot, seluar, selimut dan kasut untuk dihantarkan kepada pelarian Syria di Tripoli, Lubnan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, usaha menerusi projek ‘Warm Their Winter' pada 23 hingga 27 Oktober lalu mendapat sambutan luar biasa di kalangan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, perjalanan menghantar bantuan berkenaan bukan mudah kerana berdepan dengan halangan yang hampir menjejaskan misi program tersebut.

“Serangan Israel ke atas Lubnan pada waktu itu hampir memaksa projek ini dihentikan. Kita berdepan dilema besar.

“Ada kebimbangan bahawa bantuan berkenaan tidak akan sampai tetapi kita tahu betapa pentingnya sumbangan ini untuk mereka.

“Ia bukan sekadar barangan, ini adalah talian hayat. Kami tidak boleh berpatah balik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pekerja Syria Care sedang menyusun lotak pakaian musim sejuk yang akan disumbangkan kepada pelarian Syria di Lubnan.
Pekerja Syria Care sedang menyusun lotak pakaian musim sejuk yang akan disumbangkan kepada pelarian Syria di Lubnan.

Menurut Siti Sakinah, pihaknya menyewa gudang di Lubnan untuk menyimpan barangan berkenaan dan mengupah tenaga kerja tempatan bagi membantu dari segi pengurusan serta pengagihan.

Artikel Berkaitan:

Ulas beliau, pasukan Syria Care memastikan setiap barangan sampai kepada penerima yang berlindung di khemah sementara.

Tambahnya, tanpa pakaian mencukupi, kumpulan tersebut terutama kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi mengalami hipotermia serta penyakit berkaitan kesejukan.

“Keadaan mereka sangat mencengkam hati. Ramai hanya mempunyai sehelai selimut nipis atau memakai pakaian yang sudah koyak untuk melindungi diri daripada suhu membeku,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya bertekad untuk meneruskan usaha tersebut dan memastikan pelarian Syria tidak keseorangan menghadapi cabaran musim sejuk.

“Kami berharap ini menjadi inspirasi untuk lebih ramai rakyat Malaysia terus membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!