Tengku Mahkota Kelantan cemar duli sampaikan sumbangan banjir warga polis
KOTA BHARU - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada 649 warga polis Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini.
Baginda tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada jam 5.30 petang dengan diiringi Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Datuk Mohd Anis Hussein.
Tengku Muhammad Fakhry menyampaikan sumbangan makanan termasuk beras dan tilam selain meluangkan masa selama 15 minit bagi mendengar taklimat Op Banjir Monsun Timur Laut 2024 yang disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keberangkatan Tengku Muhammad Fakhry untuk menyampaikan bantuan kepada anggota, pegawai dan kakitangan awam polis yang terjejas banjir pada gelombang pertama lalu.
“Sumbangan ini bukti kecaknaan daripada Tengku Mahkota Kelantan terhadap mangsa-mangsa banjir dalam kalangan pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan kepada Mangsa Banjir PDRM di IPK Kelantan di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, warga polis yang terjejas banjir paling teruk membabitkan daerah Tumpat iaitu seramai 162 keluarga diikuti Tanah Merah (113) dan IPK Kelantan (108).
Lain-lain di Pasir Mas seramai 56 terjejas banjir, Kota Bharu (47), Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (47), Pasir Puteh (36), Pasukan Polis Marin Wilayah 3 (32), Bachok (27), Machang (14), Gua Musang (3), Kuala Krai (2) dan Jeli (2).
“Ada anggota yang terjejas banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara.
“Pada masa sama mereka tetap menjalankan penugasan menyelamat mangsa banjir yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!