Johor umum butiran selepas perjanjian air dimuktamadkan

Sahruddin
Sahruddin
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor akan mengumumkan butiran mengenai Perjanjian Air Sungai Johor 1962 antara kerajaan Malaysia dan Singapura selepas ia dimuktamadkan.

Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, isu air adalah antara perkara yang sering dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Minggu lalu, saya ada bertemu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar bagi membincangkan pelbagai isu termasuk isu air yang perlu kita selesaikan yang mana ia membabitkan kerajaan Malaysia, Singapura dan Johor.

“Nanti apabila sudah muktamad baru kita akan beritahu perinciannya,” katanya selepas Majlis Undian Berkelompok Projek Penyelenggaraan Jalan Raya MARRIS Peringkat Negeri di Menara Aqabah, Majlis Perbadanan Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Pada 7 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya mengesahkan proses perbincangan rundingan semula harga air melalui perjanjian itu sedang rancak berjalan.

Menurutnya, delegasi Singapura diketuai Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan datang ke Malaysia bertemu dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu bagi meneruskan rundingan itu.

Beliau berkata demikian susulan laporan muka hadapan Sinar Harian mendedahkan saranan tokoh undang-undang dan pakar industri air kepada kerajaan untuk melakukan kajian terhadap perjanjian lapuk seperti Perjanjian Air Sungai Johor.

Perjanjian air di antara Singapura dan Malaysia sejak tahun 1962 itu sudah dianggap tidak munasabah pada ketika Malaysia sendiri bakal berdepan krisis air dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, Malaysia sudah menggerakkan usaha mengkaji semula harga air mentah dijual kepada Singapura sejak tahun 1998.

Bagaimanapun, beberapa rundingan pada 1998 hingga 2002 gagal mencapai persetujuan mengenai harga air mentah itu menyebabkan Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri keempat ketika itu mengambil keputusan menamatkan rundingan pada 2002.

Pemerintah Singapura sebelum ini mencadangkan harga 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai tahun 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan harga itu dan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bagi 1,000 gelen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 bagi 1,000 gelen untuk 2011 hingga 2061.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962 membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga tahun 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air.

Perjanjian kedua daripada siri perjanjian air Singapura-Johor itu turut membolehkan Singapura menjual semula bekalan air dirawat kepada Malaysia pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962 turut didaftarkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dijamin di bawah Perjanjian Pemisahan 1965 yang membolehkan Singapura menjadi negara merdeka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!