'Kami kecewa gagal ke separuh akhir'
PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente percaya skuad negara seharusnya mendapat keputusan lebih baik ketika berdepan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Menurutnya, Malaysia layak untuk meraih keputusan positif selepas banyak percubaan dicipta para pemain di sebalik keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura.
"Sudah tentu sedih untuk mengakhiri Piala ASEAN seperti ini. Kami berhak mendapat keputusan lebih baik malam ini.
"Namun, saya tetap gembira dengan sokongan penyokong dan mereka menghormati tugas yang telah dilakukan pemain.
"Dengan situasi kami dalam dua minggu ini dan pemain telah memberikan yang terbaik. Kami sudah tentu kecewa gagal mara ke pusingan seterusnya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia hanya memerlukan kemenangan ke atas Singapura untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Namun, mereka gagal melakukannya walaupun mempunyai banyak peluang keemasan di hadapan pintu gol lawan.
Malaysia mengakhiri saingan Piala ASEAN kali ini di kedudukan ketiga dan Singapura muncul naib juara kumpulan untuk mengiringi Thailand ke separuh akhir.
Dalam pada itu, pengendali Singapura, Tsutomu Ogura gembira dengan persembahan ditunjukkan para pemainnya selepas berjaya mengikat Malaysia untuk mara ke pusingan separuh akhir.
Menurut Ogura, pemainnya menunjukkan aksi yang cukup membanggakan untuk mengekang Malaysia.
"Pemain kami menunjukkan semangat berjuang ketika menentang Malaysia dan saya bangga dengan semua pemain.
"Mereka bermain sebagai satu pasukan dan faham apa yang mereka lakukan dalam padang," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!