Rebut kekasih: 12 pelajar bergaduh dilepaskan
KOTA BHARU - Seramai 12 pelajar yang direman bagi membantu siasatan kes pergaduhan dipercayai gara-gara berebut cinta seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Pasir Mas dibenarkan diikat jamin, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Abdullah Mohamad Piah berkata, semua remaja berusia dari 15 hingga 17 tahun itu direman selama empat hari sejak Khamis lalu.
“Mereka sudah diikat jamin hari ini dan kes dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut, sama ada didakwa atau untuk tindakan lain.
“Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, kes adalah berkaitan dengan cemburu,” katanya kepada media hari ini.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Perdana Majlis Kepimpinan Murid Sekolah Kubang (SK) Kerian 3 Sesi 2020.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, Mohd Zamri Abd Aziz; Guru Besar SK Kubang Kerian 3, Muzli Mustapha; Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Datuk Mohd Riduan Junoh dan Yang Dipertua PIBG, Prof Madya Dr Ariffin Nasir.
Dalam pergaduhan Rabu lalu, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Pasir Mas dipukul sekumpulan 12 pelajar lelaki termasuk 11 orang dari sekolah sama dipercayai akibat berebut cinta pelajar perempuan.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mangsa lebam di muka, kepala dan beberapa anggota badan.
Dalam pada itu, Abdullah turut menasihati pelajar-pelajar di negeri ini supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan masa depan.
“Gunakan masa belajar ini sebaik mungkin dan hindari terlibat dengan kesalahan jenayah yang akhirnya merosakkan hidup sebagai seorang pelajar.
"Ibu bapa juga diharap dapat memberikan perhatian kepada tingkah laku anak-anak yang sekarang ini berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dibelasah angkara cinta monyet!
Rebut kekasih: 12 pelajar direman bantu siasatan kes pukul
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!