Sakit hati dengan mentua punca wanita bunuh adik ipar
JAKARTA - Dendam terhadap mentua menjadi motif pembunuhan seorang gadis berusia 13 tahun oleh kakak iparnya, kata polis Palembang.
Pegawai Tinggi Polis Palembang Harryo Sugihhartono berkata, ia berdasarkan pengakuan suspek pada Jumaat.
"Hasil soal siasat terhadap suspek, dia mengakui bahawa dendam lama terhadap mentua menyebabkan dia bertindak sedemikian (membunuh adik ipar)," katanya kepada wartawan pada Jumaat.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan mangsa, Aisyah Nur Fadilah meninggal dunia selepas diberi jamu yang diisi racun oleh suspek dikenali sebagai Rika Amalia,19.
Kejadian berlaku di Jalan Panca Usaha Lorong Wakaf 4, Kelurahan 5 Ulu, Palembang pada Rabu.
Mangsa ditemui disorok di belakang almari dalam keadaan tidak bernyawa oleh kakaknya, yang kemudiannya polis datang ke lokasi selepas laporan dibuat.
Dalam pada itu Harryo berkata, suspek kini berdepan hukuman maksimum 20 tahun sekiranya didapati bersalah.
Suspek telah diceraikan oleh suaminya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!