Dua lelaki ditahan rentas sempadan guna pangkalan haram
TUMPAT - Dua lelaki ditangkap Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok dalam kejadian berasingan di sini pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada jam 5.15 petang Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa melihat sebuah bot dari Thailand menuju ke tebing sungai Malaysia berhampiran pangkalan haram Tanjung, di sini semasa melakukan rondaan penugasan Op Taring Wawasan.
"Pemandu bot bertindak melarikan diri dan meninggalkan penumpang di tebing sungai.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 53 tahun itu mendapati tiada barang-barang yang menyalahi undang-undang ditemukan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, lelaki terbabit dipercayai masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan ditahan bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya, tangkapan kedua dilakukan pada jam 5.45 petang di pangkalan haram Paija, Pengkalan Kubor.
Nik Ros Azhan memberitahu, seorang lelaki berusia 52 tahun ditemukan dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram terbabit.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek merupakan warga Thailand dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!