Sorok minyak masak peket dalam tong sampah

Pasukan penguat kuasa KPDN Perak menjumpai 13 peket minyak masak bersubsidi yang disorok dalam sebuah tong sampah di stor kedai runcit di Teluk Intan. Foto ihsan KPDN Perak
Pasukan penguat kuasa KPDN Perak menjumpai 13 peket minyak masak bersubsidi yang disorok dalam sebuah tong sampah di stor kedai runcit di Teluk Intan. Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang peniaga berdepan tindakan undang-undang selepas disyaki menyorok 13 peket satu kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di sebuah kedai runcit di sini pada Jumaat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, menerusi Op Samar yang dilakukan premis terbabit didapati enggan menjual barang kawalan tersebut.

"Berdasarkan risikan dan penyamaran, anggota melakukan pemeriksaan dengan membuat uji beli dan jurujual di kaunter memaklumkan bahawa minyak masak peket 1kg telah kehabisan stok.

"Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform kemudian melakukan pemeriksaan menyeluruh dan mendapati tiada bekalan minyak masak peket di rak jualan.

"Namun, pemeriksaan lanjutan terhadap stor milik premis telah menjumpai minyak masak peket sebanyak 13kg yang disimpan dalam sebuah tong sampah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, dengan penemuan itu, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

"Kesemua minyak masak peket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM32.50.

"Siasatan lanjut kes ini akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!