Musim cuti dijangka pengaruhi pergerakan ringgit minggu depan

Aktiviti dagangan juga dijangka suram susulan musim cuti manakala pasaran pertukaran mata wang asing tidak dijangka menyaksikan sebarang pergerakan yang ketara. Foto hiasan
Aktiviti dagangan juga dijangka suram susulan musim cuti manakala pasaran pertukaran mata wang asing tidak dijangka menyaksikan sebarang pergerakan yang ketara. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan dalam julat kecil pada paras 4.50 hingga 4.52 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, memaparkan ketidaktentuan dan sentimen berhati-hati dalam kalangan peniaga sewaktu tempoh cuti Krismas.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, aktiviti dagangan juga dijangka suram susulan musim cuti manakala pasaran pertukaran mata wang asing tidak dijangka menyaksikan sebarang pergerakan yang ketara.

"Kemungkinan berlakunya turun naik ketara adalah rendah melainkan sebarang kejadian geopolitik atau ekonomi. Berikutan itu, pasaran dijangka kekal tenang," katanya kepada Bernama.

Atas alasan itu juga, Innes menjangkakan ringgit kekal stabil dan berlegar menghampiri paras sama pada akhir urus niaga minggu ini.

Prestasi ringgit juga secara konsisten lebih rendah berbanding dolar AS sepanjang minggu ini, di tengah-tengah ketidaktentuan prospek kadar faedah AS, terutama selepas Rizab Persekutuan AS memberi petunjuk pengurangan kadar faedah yang lebih sedikit pada 2025.

Faktor lain turut berkait rapat dengan data ekonomi AS yang optimis dan memberi sokongan lanjut terhadap dolar AS.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.5055/5100 daripada 4.4475/4525 seminggu lepas.

Bagi minggu ini, ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ia susut nilai berbanding euro kepada 4.6776/6823 daripada 4.6632/6684 dan lebih rendah berbanding pound Britain pada 5.6328/6384 daripada 5.6203/6266 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8747/8779 daripada 2.8987/9022 pada akhir dagangan minggu lepas.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3181 daripada 3.2971/3011 dan susut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.0670/0861 daripada 13.0261/0472.

Bagi peso Filipina, ringgit susut kepada 7.66/7.67 daripada 7.60/7.62 pada Jumaat lepas tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 277.7/278.1 daripada 277.7/278.2, sebelum ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!