Sindiket warga asing guna kad pengenalan warga tempatan tumpas

Serbuan Op Mahir yang dijalankan di sebuah kilang di Senai pada Khamis. Foto JIM Johor
Serbuan Op Mahir yang dijalankan di sebuah kilang di Senai pada Khamis. Foto JIM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu sindiket warga asing yang bekerja menggunakan kad pengenalan warga tempatan berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi serbuan Op Mahir di sebuah kilang di Senai, Kulai pada Khamis.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi jam 6.45 petang itu hasil risikan yang dijalankan selama dua hari.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan terbabit diambil susulan penahanan empat warga asing sebelum ini yang mengaku bekerja menggunakan identiti warga tempatan palsu di sebuah kilang di sini.

"Secara keseluruhannya, JIM Johor menahan 74 lelaki dan 54 perempuan warga asing selain seorang majikan warga tempatan, selepas 292 warga asing dan warga tempatan diperiksa dalam Ops Mahir yang dilakukan di kilang berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 129 ditahan termasuk seorang majikan warga asing yang ditahan didapati menggunakan dokumen pengenalan diri warga tempatan untuk memohon kerja.

"Selain itu, turut ditahan lima lagi warga asing yang menggunakan kad pengenalan milik warga tempatan untuk bekerja di kilang berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Serbuan Op Mahir yang dijalankan di sebuah kilang di Senai pada Khamis. Foto JIM Johor
Serbuan Op Mahir yang dijalankan di sebuah kilang di Senai pada Khamis. Foto JIM Johor

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Rusdi berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor menahan lima warga asing itu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu memiliki dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

"Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, JIM Johor akan terus memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!