Jual senjata tiruan dalam talian, tiga lelaki termasuk warga asing diberkas
KUALA LUMPUR - Menjual senjata tiruan secara dalam talian antara tindakan dibongkar polis menerusi tangkapan tiga lelaki serta rampasan 669 laras senjata tiruan di Kota Bharu, Kelantan dan premis sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Serbuan yang dijalankan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) itu memberkas tiga suspek berumur antara 28 hingga 45 tahun.
Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek ditahan menerusi operasi Taring Bravo 3, Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Dos bermula Selasa hingga Rabu.
Beliau berkata, operasi pertama pada Selasa melibatkan serbuan sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan dipercayai menjual senjata tiruan dan penyimpanan hidupan liar tanpa permit.
"Operasi memberkas seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan itu selain merampas 32 laras senjata tiruan.
"Siasatan mendapati, senjata api tiruan berkenaan dijual menerusi platform dalam talian sejak beberapa bulan lalu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, serbuan turut merampas dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 2010).
"Selain itu, turut dirampas beberapa kotak mengandungi ubat-ubatan yang didapati tidak memiliki kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960 dan Peraturan-Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.
Azmi berkata, operasi kedua pada Rabu kemudiannya dijalankan di premis sekitar Jalan Raja Laut memberkas dua lelaki warga asing serta merampas sebanyak 637 laras senjata tiruan.
"Siasatan bagi kes ini dijalankan bawah Akta Senjata 1960.
"Nilai rampasan menerusi kedua operasi dijalankan ini dianggarkan kira-kira RM436,971," katanya.
Jelas beliau, operasi akan terus dipergiatkan dalam membanteras sebarang kegiatan yang melanggar peruntukan undang-undang ditetapkan.
"Polis memberi jaminan akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!