Perlu ada 'unwritten understanding', tak ambil ahli parti lain - Tok Mat
SEREMBAN - Walaupun tiada sebarang perjanjian bertulis, namun semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan seharusnya mempunyai persefahaman dengan tidak mengambil ahli daripada parti masing-masing, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, ia penting bagi menjaga keharmonian serta hubungan baik antara parti yang telah sedia ada.
"Saya harap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mesti ada suatu 'unwritten understanding' supaya tidak mengambil ahli-ahli daripada parti masing-masing untuk menjaga keharmonian.
"Ini merupakan perkara yang sensitif dan sensitiviti antara parti itu perlu dijaga kerana kalau tidak, nanti akan meretakkan hubungan baik sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pertandingan E-Sport(MLBB) Piala Tok Mat di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai 'perbincangan tepi' berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, bagaimanapun UMNO tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk keluar daripada parti kerana itu hak masing-masing.
"Itu terpulang kepada tuan punya diri. Kalau tuan punya diri berasakan yang UMNO tidak lagi mempunyai tempat pada dia, terpulanglah.
"Kita tidak menyekat orang nak pergi mana-mana. Ini bukan pertama kali pemimpin UMNO keluar parti dan ini perkara biasa. Orang pergi, orang masuk biasa. Terpulang kepada tuan punya diri.
"Jika dia berasakan UMNO bukan lagi tempat untuk tingkatkan kerjaya terpulanglah...'all the best to him'," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengambil ahli daripada parti komponen lain bagi mengelak perpecahan dalam gabungan itu.
Pengerusi BN itu berkata, mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan pun tidak mahu situasi seperti itu berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!