[KRONOLOGI] Pencarian satu dekad MH370

No Image Caption
A
A
A

BERIKUT adalah kronologi pencarian satu dekad MH370.

8 Mac 2014

MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Operasi SAR dimulakan di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka keesokan hari selepas pesawat dipercayai berpatah balik.

24 Mac 2014

Data dikeluarkan satelit Inmarsat Britain memutuskan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi, 2,000 kilometer di barat Australia.

1 April 2014

Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bagi menyelaras operasi mencari MH370.

Artikel Berkaitan:

4 April 2014

Pencarian bagi mengesan 'pinger' kotak hitam dimulakan di Lautan Hindi.

31 Julai 2014

Kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator digunakan untuk kerja ukur batimetrik di sepanjang arca ketujuh di selatan Lautan Hindi.

21 Oktober 2014

Kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia, GO Phoenix, menyertai operasi mencari bersama kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia-Australia, Fugro Discovery dan Fugro Equator. Fugro Supporter kemudian dihantar untuk membantu.

29 Januari 2015

Malaysia isytihar kesemua 239 penumpang serta anak kapal MH370 dianggap telah terkorban.

18 Jun 2015

Pencarian fasa satu tamat, melibatkan kawasan seluas 52 kilometer persegi. Pencarian fasa dua dimulakan dengan hanya dua buah kapal.

29 Julai 2015

Seorang pekerja pembersih pantai di pulau La Reunion di Lautan Hindi, milik Perancis, menemui bahagian sayap sepanjang 2.7 meter dikenal sebagai 'flaperon' di mana para pakar percaya ia milik sebuah pesawat jenis Boeing 777. MH370 merupakan satu-satunya pesawat jenis Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

6 Ogos 2015

Malaysia mengesahkan 'flaperon' yang ditemui di pulau La Reunion itu adalah daripada pesawat MH370.

20 April 2016

Serpihan kedua ditemui di pulau La Reunion.

14 Mei 2016

Malaysia sahkan hampir 90 peratus pasti dua serpihan lain yang ditemui masing-masing di Afrika Selatan dan Mauritius adalah daripada pesawat MH370.

22 Julai 2016

Malaysia, China dan Australia putuskan untuk menangguhkan operasi apabila pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

16 September 2016

Dua daripada sejumlah 24 serpihan pesawat ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania disahkan adalah daripada pesawat MH370 manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat yang hilang itu.

17 Januari 2017

Malaysia, Australia dan China gantung operasi pencarian MH370. Malaysia maklumkan anggaran kos pencarian ditanggung kerajaan ialah RM456 juta.

27 Januari 2017

Serpihan fairing flap support sayap kanan No. 7 ditemui di Afrika Selatan oleh penduduk tempatan.

21 Januari 2018

Ocean Infinity memulakan semula pencarian bawah air selama empat bulan.

20 Ogos 2018

Serpihan panel ditemui di Madagascar oleh nelayan.

20 Disember 2024

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke umumkan kerajaan setuju menerima tawaran Ocean Infinity untuk meneruskan usaha pencarian berdasarkan prinsip 'tiada penemuan, tiada bayaran' di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. Anggaran kos pencarian ialah AS$70 juta (RM315 juta).

INFO:

Ocean Infinity

Ibu pejabat: Texas, Amerika Syarikat dan Southamton, United Kingdom

Kepakaran: Robotik marin

Tahun diasaskan: 2017

CEO: Oliver Plunkett

Antara projek pencarian yang berjaya diselesaikan oleh Ocean Infinity

1. November 2018, kapal Seabed Constructor milik Ocean Infinity berjaya mengesan bangkai kapal selam Argentina ARA San Juan, yang telah hilang setahun sebelumnya.

2. Disember 2018, Ocean Infinity diberi kontrak oleh kerajaan Korea Selatan untuk mencari bangkai kapal pengangkut pukal Stellar Daisy yang tenggelam di Lautan Atlantik pada Mac 2017. Pada Februari 2019, syarikat itu menemui bangkai kapal dan mendapatkan perakam data pelayaran.

3. Pada Julai 2019, syarikat itu menemui kapal selam Tentera Laut Perancis, Minerve, 50 tahun selepas kehilangannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!