PGA rampas lebih RM173,200 produk kosmetik seludup
PASIR MAS - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai jenis barangan kosmetik bernilai lebih RM173,200 dipercayai diseludup dari Thailand dalam dua kejadian berasingan di sini, pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan pertama pada jam 5.15 petang itu melibatkan 458 unit barangan kosmetik dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah di pangkalan haram Pak Ali, Kubang Pak Hitam di sini.
"Semasa penugasan Op Taring Wawasan seorang lelaki dikesan sedang memunggah beberapa kotak ke tebing Sungai Golok.
"Menyedari kehadiran anggota, suspek bertindka melarikan diri dan hasil pemeriksaan menjumpai 458 unit barangan kosmetik bernilai RM91,600," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984 dan barangan rampasan diserahkan kepada Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, rampasan kedua melibatkan barangan kosmetik bernilai RM81,600 yang ditemukan di pangkalan haram Syed Mior, Bukit Lata pada jam 9.45 malam.
Nik Ros Azhan memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat kotak barangan kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
"Produk kosmetik ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!