JIM sambut baik lanjut pengecualian visa warga India
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik keputusan kerajaan menyelaraskan pelanjutan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara India sehingga 31 Disember 2026.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kemudahan pengecualian visa sebelum ini telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2024 di bawah Program Liberalisasi Visa.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.
"Sepanjang tempoh pengecualian dilaksanakan, pihak imigresen telah merekodkan kemasukan pelawat dari India seramai 916,821 orang.
"Inisiatif kemudahan pengecualian visa ini telah meningkatkan jumlah kemasukan pelawat India sebanyak 223 peratus berbanding 283,885 pelawat pada 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zakaria berkata, peningkatan tersebut telah memberi rangsangan kepada industri perniagaan di negara ini.
Jelas beliau, kemasukan pelancong bukan sahaja akan menjana pendapatan tetapi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Menurutnya, bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu, JIM akan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sepertimana ketika awal pelaksanaannya pada 2023.
Katanya, antara bentuk kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing, prosedur ketat Notis Penolakan Masuk dan pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
Selain itu, katanya, proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan yang mana pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah.
"Pihak imigresen tidak akan sama sekali berkompromi dengan aspek keselamatan sedia ada dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan.
"Ia termasuk menambah baik kelancaran pergerakan keluar masuk negara yang secara tidak langsung dapat menyokong industri pelancongan negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!