Polis bantuan Prasarana leraikan pergaduhan penyokong bola
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meleraikan pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang/Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam Jumaat.
Prasarana berkata, insiden itu mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.
"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut. Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya.
"Prasarana amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan serta kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Prasarana menegaskan, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan di Balai Polis Sungai Besi dan sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.
Katanya, sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.
"Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan video tular memaparkan kejadian pergaduhan pada jam 12.03 malam.
"Pergaduhan melibatkan kira-kira 20 hingga 30 orang penyokong dua kumpulan bola sepak.
"Ada yang bertindak agresif, bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah dan penghadang pintu lift ke arah tren serta menendang pintu tren," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata beliau, perbuatan liar itu mengakibatkan kerosakan pada bahagian pintu cermin tren hingga menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit.
Menurut beliau, pihak polis bantuan yang berada di lokasi telah bertindak meleraikan pergaduhan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!