Culas bayar tunggakan sewa PPR beri impak komuniti

Sandrea (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan melawat unit PPR meninjau aspek kemudahan dan keselamatan penghuni di Rumah Pangsa, Jalan Hospital di Ipoh.
Sandrea (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan melawat unit PPR meninjau aspek kemudahan dan keselamatan penghuni di Rumah Pangsa, Jalan Hospital di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kegagalan melunaskan tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan dalam menyediakan kemudahan yang selesa.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM4.7 juta bagi tahun 2024 bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan untuk penghuni perumahan itu.

Menurut beliau, tunggakan sewa terkumpul setakat ini dianggarkan berjumlah RM800,000 melibatkan 16 PPR seluruh negeri.

"Kita menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus dengan mengambil pelbagai inisiatif antaranya mengeluarkan notis, mengadakan sesi konsultasi dan bagi kes kritikal, tindakan mahkamah terpaksa diambil.

"Kita juga bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi memastikan isu tunggakan dapat dikurangkan kerana kita perlu peruntukan dan kewangan yang kukuh dalam memastikan operasi PPR berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini pada Sabtu.

Sandrea (duduk, tiga dari kanan) merasmikan program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital di Ipoh.
Sandrea (duduk, tiga dari kanan) merasmikan program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital di Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Sandrea berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) merancang agar langkah penambahbaikan untuk PPR akan mengambil kira faktor usia penghuni sebagai persediaan menghadapi masyarakat menua.

Tambahnya, langkah tersebut termasuk penambahan lif mesra usia, laluan bebas halangan, ruang rehat yang selamat, dan kemudahan awam lain yang direka khusus untuk memenuhi keperluan warga emas.

"LPHP telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menilai infrastruktur di perumahan rakyat bagi mengenal pasti aspek-aspek yang kurang mesra warga emas seperti susun atur peralatan, kemudahan harian, dan amalan kehidupan penghuni.

"Penduduk setempat juga telah dikongsikan input untuk mengambil langkah kecil tetapi signifikan seperti memastikan laluan tidak terhalang, menambah pencahayaan di kawasan gelap," ujarnya.

Sandrea berkata, kesedaran komuniti terhadap peranan dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan mesra usia perlu ditingkatkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!