Rosmah bebas dan lepas: Anwar nafi terlibat, kata pendakwaan terburu-buru
SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dibuat terburu-buru sehingga banyak 'kecacatan'.
“(Saya melihat kes tersebut) Dendam politik daripada pihak yang berkuasa ketika itu.
“Biarkan proses berjalan. Sebagai Perdana Menteri, saya mesti berhati-hati dengan apa yang diperkatakan.
"Biarkan mahkamah tentukan. Saya ada pandangan sendiri, tetapi tidak boleh campur tangan,” katanya semasa sidang akhbar yang diadakan di Dorsett Grand Subang, di sini pada Sabtu.
Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua kes itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan pada Jumaat memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, notis rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!