JAIS segerakan siasatan kes pelajar maut disyaki terkena renjatan elektrik
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan sesi pembelajaran di sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Serdang yang terlibat kematian seorang pelajar akibat renjatan elektrik dihentikan serta-merta.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, langkah itu bagi mengelak kemalangan berulang sekali gus memudahkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, JAIS serta beberapa agensi lain antaranya Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak sekolah telah turun ke lokasi kejadian pada Khamis lalu.
"JAIS kini sedang menunggu laporan rasmi siasatan daripada Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor berhubung keselamatan bangunan terlibat.
"Kita juga akan meminta laporan agensi teknikal lainnya dan daripada pihak PDRM untuk tindakan lanjut JAIS," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikan sebagai maklum balas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa siasatan segera dilakukan berhubung kematian seorang pelajar akibat renjatan elektrik di sekolah berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah agama.
Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang
Mohd Shahzihan berkata, satu laporan khas akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam masa terdekat.
"JAIS mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terlibat atas kejadian yang berlaku.
"Kami berharap semua lembaga pengurusan sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di Selangor sentiasa memantau perkara-perkara yang melibatkan keselamatan guru dan pelajar di sekolah dan mengambil tindakan segera," katanya.
Untuk rekod katanya, sekolah tersebut merupakan sekolah Islam yang didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir oleh Lembaga Pengurusan Sekolah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu guru agama dan fardu Ain melalui skim guru KAFA Jakim, manakala kerajaan negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks.
"JAIS dan kerajaan negeri dipertanggungjawab untuk memastikan murid-murid belajar mengikut kurikulum agama yang ditetapkan dan premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat serta selesa untuk pelajar dan guru.
"Bangunan yang dibina atau disewa bagi tujuan ini adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!