Ribuan diarah pindah susulan kebakaran di barat Melbourne
SYDNEY - Penduduk di beberapa bandar di barat Melbourne, Australia, diarahkan untuk segera berpindah berikutan kebakaran belukar yang semakin tidak terkawal, lapor Xinhua.
Sehingga pagi Sabtu waktu tempatan, amaran berpindah dikeluarkan untuk enam bandar di sekitar Taman Negara Grampians, kira-kira 230 kilometer (km) dari barat Melbourne.
Komander Country Fire Authority Alan Slijepcevic, berkata kebakaran yang tercetus pada Isnin lalu itu merebak dari 7,500 hektar pada pagi Jumaat kepada lebih 28,000 hektar pada Sabtu.
Beliau berkata kira-kira 400 anggota bomba sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran menggunakan 100 jentera, 25 pesawat dan peralatan berat lain.
"Ada kawasan besar yang masih terbakar, dan ia akan terus terbakar kerana terdapat banyak titik panas di bahagian utara," katanya.
Kira-kira 2,500 penduduk diarahkan untuk segera berpindah, manakala penduduk di sembilan bandar lain juga dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!